Laman Sesawang Rasmi Lembaga Ahli Geologi Malaysia
Lembaga Ahli Geologi Malaysia

Mengenai BoG

Mandat berkanun, latar belakang, visi, misi dan fungsi Lembaga Ahli Geologi Malaysia.

Latar Belakang

Lembaga Ahli Geologi Malaysia ditubuhkan pada November 2014 di bawah Akta Ahli Geologi 2008 [Akta 689]. Mandat utamanya meliputi pendaftaran ahli geologi, pengawalseliaan amalan geologi dan perkara yang berkaitan.

Pendaftaran bermula selepas Peraturan-Peraturan Ahli Geologi (Pendaftaran Ahli Geologi) 2015 mula berkuat kuasa. Pendaftar bertanggungjawab menyenggarakan Daftar, termasuk rekod pendaftaran, penggantungan, pembatalan, pengeluaran daripada Daftar dan kemasukan semula.

Asas berkanun: Lembaga ditubuhkan sebagai suatu pertubuhan perbadanan di bawah seksyen 3 Akta 689.
Hala tuju strategik

Visi

Menjadi organisasi yang amat dihormati, dinamik dan progresif serta komited untuk memastikan perkhidmatan geologi terus disediakan secara profesional dan bertanggungjawab.

Kepimpinan semasa

Kepimpinan berkanun Lembaga

Pengerusi memimpin Lembaga, manakala Pendaftar menyenggarakan Daftar dan mengetuai Urus Setia di bawah arahan am Lembaga.

Pengerusi Lembaga Datuk P.Geol. Zamri bin Ramli Memegang jawatan sejak 1 Disember 2023
Pendaftar P.Geol. Mohd Badzran bin Mat Taib Memegang jawatan sejak 20 Februari 2023
Lihat sejarah kepimpinan dan pemegang jawatan →
Seksyen 4(1), Akta 689

Fungsi Lembaga

Fungsi Lembaga diperuntukkan di bawah seksyen 4(1) Akta, termasuk perkara yang berikut:

  1. 01

    melaksanakan kewajipan dan fungsi serta menjalankan kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta;

  2. 02

    dengan kelulusan Menteri, menentukan skala fi yang boleh dikenakan oleh Ahli Geologi Profesional Berdaftar, Ahli Geologi Asing Berdaftar dan Pengamal Berdaftar bagi perkhidmatan geologi yang diberikan;

  3. 03

    menentukan dan mengawal selia tatakelakuan profesional dan etika profesion geologi;

  4. 04

    mendengar dan memutuskan pertikaian yang berhubungan dengan tatakelakuan profesional atau etika ahli geologi berdaftar dan pengamal berdaftar, atau menubuhkan jawatankuasa atau melantik penimbang tara untuk mendengar dan memutuskan pertikaian tersebut;

  5. 05

    mewakili profesion geologi dalam apa-apa perkara yang perlu atau suai manfaat untuk berbuat demikian;

  6. 06

    meneliti dan, jika dianggap perlu, melaporkan apa-apa perkara tempatan yang dikemukakan kepadanya serta membuat syor kepada Kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa awam, pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa berkanun, atau kepada mana-mana institut, badan atau pertubuhan yang pada pendapat Lembaga mewakili profesion geologi;

  7. 07

    menimbangkan dan mengesyorkan pembaharuan undang-undang yang berkaitan dengan kaji selidik geologi;

  8. 08

    mengendalikan peperiksaan bagi kemasukan ke profesion geologi;

  9. 09

    melantik individu untuk mewakili profesion geologi dalam mana-mana badan atau panel pemeriksa yang dilantik oleh mana-mana institut, badan atau pertubuhan yang pada pendapat Lembaga mewakili profesion geologi;

  10. 10

    membuat syor berhubung dengan mana-mana peperiksaan yang melayakkan kemasukan ke profesion geologi;

  11. 11

    mengadakan atau menyebabkan supaya diadakan program pembangunan profesional bagi ahli geologi berdaftar dan pengamal berdaftar untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai perkembangan terkini yang berkaitan dengan profesion geologi;

  12. 12

    menyediakan biasiswa dan kemudahan lain bagi menggalakkan pembelajaran dan pendidikan yang berkaitan dengan geologi; dan

  13. 13

    melakukan apa-apa perkara lain yang difikirkannya sesuai untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dengan berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.